Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • 100 tahun akan datang, perjalanan udara mungkin jadi milik peribadi?
  • KOLUMNIS

100 tahun akan datang, perjalanan udara mungkin jadi milik peribadi?

Utusan Sarawak 11 hours ago

JIKA kita menoleh 100 tahun ke belakang, pada ketika jentera terbang masih dianggap luar biasa, pada waktu kefahaman terhadap teori sains penerbangan masih belum benar‑benar dikuasai, apatah lagi membayangkan kewujudan kecerdasan buatan mungkin disamakan dengan “makhluk asing”, tetap ada sesuatu dalam diri para pembina pada zaman tersebut, iaitu kesungguhan dan keberanian untuk mencipta sesuatu yang pada awalnya dilihat mustahil, lalu mengubahnya menjadi realiti.

Malah, ada perkara dalam titik awal sejarah ini, kejayaan tidak semestinya disokong dengan kekuatan wang ringgit, fasiliti lengkap dan dikeliling bijak pandai semata-mata, akan tetapi keupayaan untuk memahami dan kemampuan mencipta sesuatu yang lebih ‘mudah’ dengan tepat, mengangkat nama Wright bersaudara berbanding Samuel Pierpont Langley.

Wright bersaudara tidak memiliki dana besar, tidak mempunyai makmal canggih dan tidak disokong oleh institusi ternama. Namun mereka memiliki satu perkara yang lebih penting, iaitu pemahaman mendalam terhadap masalah asas penerbangan dan keberanian untuk mencuba pendekatan yang lebih ringkas tetapi tepat.

Langley pula, walaupun disokong kerajaan dan komuniti saintifik, memilih pendekatan yang terlalu kompleks sehingga mengabaikan isu kawalan dan kestabilan yang menjadi kunci kepada penerbangan bermotor.

TIDAK mustahil 100 tahun akan datang, dengan kemajuan kecerdasan buatan, perjalanan udara menjadi milik peribadi. Gambar imaginasi AI semata-mata.

Kejayaan menerbangkan ‘sesuatu’ yang bersayap dengan tujahan angin daripada propeller berenjin dan dikemudi selama 12 saat di udara, menjadi detik pertama dalam industri ini.

Pencapaian ini hadir hanya sembilan hari selepas kegagalan Samuel Pierpont Langley untuk menerbangkan ciptaannya, apabila Aerodrome yang dibinanya terjunam ke dalam Sungai Potomac sebaik sahaja dilancarkan.

Jarak masa sembilan hari ini membezakan pendekatan yang diambil oleh kedua-dua pencipta ini. Wright bersaudara memilih untuk memahami angin, bentuk sayap dan kawalan, manakala Langley memilih untuk membina sesuatu yang besar tanpa menyelesaikan asasnya terlebih dahulu.

Maka bermulalah perlumbaan untuk menguasai kesempurnaan, setelah batas sains asas ini difahami secara praktikal. Namun kekangan teknologi pada ketika itu menjadi cabaran utama, walaupun berkembang secara perlahan tetapi ia dapat diatasi satu per satu secara berperingkat.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin difahami, industri penerbangan mula memasuki fasa baharu pada awal abad ke‑20.

Rangka pesawat yang pada mulanya dibina daripada kayu dan kain digantikan dengan logam yang lebih kukuh, manakala enjin piston yang sederhana mula dipertingkatkan bagi membolehkan penerbangan lebih jauh dan lebih stabil.

Perkembangan ini mencetuskan keperluan untuk mengawal selia ruang udara apabila Konvensyen Paris 1919 diperkenalkan. Konvensyen ini memberikan negara hak penuh terhadap ruang udara masing‑masing dan sekali gus mewujudkan asas undang‑undang penerbangan antarabangsa.

Dengan ada peraturan dan undang-undang ini, ia menandakan aktiviti penerbangan sudah memasuki fasa keyakinan dan kepercayaan orang awam akan fungsinya sebagai mod pengangkutan udara, sebagaimana perkara yang sama dikuatkuasakan terhadap kenderaan darat.

Penerbangan komersial pada mulanya digunakan sebagai laluan pos udara sebelum membuka peluang kepada syarikat penerbangan pertama, St. Petersburg–Tampa Airboat Line untuk membawa penumpang secara tetap pada 1914.

BERDIRI di sebelah juruterbangnya, Antony H. Jannus, bekas Datuk Bandar St. Petersburg A.C. Phiel (tengah) membayar AS$400 untuk menjadi penumpang pertama bagi perkhidmatan bot udara St. Petersburg–Teluk Tampa. (Arkib Historynet)

Syarikat penerbangan mula menggunakan pesawat terbang ekasayap (monoplane) bagi menggantikan sayap berkembar (biplane) untuk penerbangan yang lebih effisien.

Pesawat juga dipasangkan sistem navigasi radio dan kawalan pandu auto asas bagi meningkatkan keselamatan serta kebolehpercayaan operasi.

Meskipun perjalanan udara pada ketika itu masih mahal dan terhad serta sering dianggap sebagai simbol kemodenan, ia tetap menuntut keberanian kerana risiko operasi masih berada pada tahap yang tinggi.

Menjelang 1930-an, pesawat seperti Douglas DC‑3 muncul sebagai manifestasi kematangan industri pada waktu itu apabila ia membuktikan penerbangan komersial boleh beroperasi dengan stabil, ekonomik dan boleh dipercayai.

Kabin bertekanan mula diperkenalkan bagi membolehkan pesawat terbang lebih tinggi dan mengurangkan kesan cuaca buruk. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan keselamatan, malah turut membolehkan syarikat penerbangan menambah kekerapan operasi berikutan pertambahan permintaan penumpang.

Pada masa sama, undang‑undang penerbangan diperketatkan melalui penubuhan badan kawal selia di pelbagai negara bagi memastikan keselamatan operasi dan standard latihan juruterbang dipatuhi.

Di sebalik kesan buruk yang berlaku, Perang Dunia Kedua pada masa sama telah mempercepatkan inovasi pembinaan pesawat secara drastik. Radar, enjin jet dan struktur aluminium penuh menjadi asas kepada pesawat moden.

Selepas perang, lebihan pesawat tentera ditukar menjadi pesawat komersial, manakala lapangan terbang moden mula dibina di seluruh dunia bagi membolehkan jaringan laluan dapat diperluas dan disusun secara lebih teratur.

Dunia yang semakin terhubung ini memerlukan satu keselarasan yang tersusun. Maka pada 1944, Konvensyen Chicago telah bersetuju untuk membentuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

ICAO ialah asas kepada sistem penerbangan global hari ini, termasuk standard keselamatan, navigasi dan hak laluan antarabangsa. Tanpa kerangka undang‑undang ini, penerbangan moden tidak akan dapat berkembang secara sistematik dan selamat.

Era 1950-an dan 1960-an menyaksikan kelahiran pesawat jet komersial seperti Boeing 707 dan kemudian Boeing 747. Kedua-dua pesawat ini berkeupayaan untuk terbang dalam jarak jauh.

Disebabkan ini, kos perjalanan mula menurun dan penerbangan antarabangsa menjadi lebih mudah dicapai.

Lantas undang‑undang keselamatan kabin, tekanan udara dan latihan kru diperkukuh bagi menampung pertumbuhan pesat industri. Langkah ini bertujuan mengelakkan tragedi berulang, berasaskan pengajaran daripada kegagalan memahami situasi berisiko tinggi pada era sebelumnya.

Krisis minyak pada 1970-an memaksa industri mencari enjin dengan kecekapan yang lebih tinggi. Enjin turbofan generasi baharu diperkenalkan, manakala peraturan bunyi dan pencemaran mula dikuatkuasakan.

Hal ini menyebabkan operasi pesawat Concorde yang menawarkan penerbangan supersonik komersial menjadi sangat terhad, akibat bunyi enjin kuat yang menghasilkan dentuman sonik serta penggunaan bahan api yang tinggi yang berpotensi mencemarkan udara.

Oleh sebab itu, Concorde kekal sebagai simbol kemewahan dan bukannya penyelesaian massa.

Pada masa sama, standard keselamatan global diperluas bagi memastikan operasi pesawat jet semakin selamat. Industri mula memahami bahawa kelajuan bukan satu-satunya matlamat, tetapi kecekapan dan kelestarian juga penting.

Memasuki era 1980-an dan 1990-an, digitalisasi mengubah hampir setiap aspek penerbangan. Fly-by-wire, glass cockpit dan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) menjadikan pesawat lebih mudah dikendalikan dan lebih selamat.

Malah, apabila peraturan ketat kerajaan dilonggarkan di beberapa negara, industri penerbangan mula beroperasi dalam pasaran yang lebih bebas.

Keadaan ini membuka ruang kepada persaingan lebih luas dan seterusnya melahirkan syarikat penerbangan tambang rendah yang mengubah keseluruhan landskap industri.

Peraturan baharu seperti Extended-range Twin-engine Operations (ETOPS) membolehkan pesawat dua enjin terbang jarak jauh, sekali gus mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan.

Penerbangan menjadi lebih mampu milik dan lebih mudah diakses oleh masyarakat umum.

Pada awal abad ke‑21, penggunaan bahan komposit dalam pesawat seperti Boeing 787 dan Airbus A350 meningkatkan kecekapan bahan api dan keselesaan penumpang.

Inovasi ini turut membolehkan pengeluar menghasilkan pesawat yang lebih ringan, lebih senyap dan lebih tahan lasak, seterusnya membuka ruang kepada reka bentuk baharu yang lebih efisien untuk penerbangan jarak jauh.

Serangan keganasan yang berlaku pada 11 September 2001 berpunca daripada rampasan kapal terbang, memaksa perubahan besar dalam undang‑undang keselamatan global, termasuk kawalan ketat di lapangan terbang dan pengukuhan pintu kokpit.

Perubahan ini turut memperkenalkan prosedur keselamatan baharu yang lebih menyeluruh, sekali gus membentuk semula cara industri penerbangan mengurus risiko dan melindungi penumpang di seluruh dunia.

Industri terus berkembang dengan model perniagaan jarak jauh tambang rendah dan peningkatan permintaan kargo udara. Dunia semakin bergantung kepada penerbangan sebagai tulang belakang ekonomi global.

Dalam dekad terkini, tumpuan beralih kepada kelestarian. Pesawat electric Vertical Take‑Off and Landing (eVTOL)untuk mobiliti bandar dan penggunaan bahan api mampan mula mendapat tempat.

Negara dan pengawal selia memperkenalkan peraturan baharu berkaitan emisi karbon, operasi dron dan penggunaan tenaga alternatif.

Teknologi data raya (big data) dan penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) menjadikan operasi lebih cekap dan selamat.

Pada masa sama, industri bergerak ke arah sifar karbon melalui penggunaan bahan api penerbangan mampan, pesawat elektrik, hibrid dan hidrogen.

Melihat kepada semua perkembangan ini, jelas bahawa industri penerbangan sentiasa bergerak mengikut keperluan zaman.

Jika 100 tahun yang lalu manusia hanya mampu terbang selama 12 saat, tidak mustahil 100 tahun akan datang, dengan kemajuan kecerdasan buatan, perjalanan udara mungkin menjadi milik peribadi.

Dunia penerbangan sentiasa bermula dengan satu persoalan yang sama, iaitu sejauh mana manusia berani membayangkan masa depan dan sejauh mana kita sanggup mencipta sesuatu yang hari ini masih dianggap mustahil.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Continue Reading

Previous: OMO 1958 vs PDA 1974

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.