
BINTULU: Kira-kira 100 unit rumah mampu milik bakal dibangunkan di Kidurong di sini bagi memenuhi permintaan tinggi masyarakat setempat terhadap kediaman pada harga berpatutan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, Bintulu mencatatkan permintaan tertinggi di Sarawak untuk rumah mampu milik dan lokasi projek telah dikenal pasti.
“Secara keseluruhannya, Sarawak berdepan dengan beberapa isu logistik, bahan binaan serta tenaga kerja.
“Banyak faktor menjadikan harga hartanah kediaman kita lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
“Namun itu juga menunjukkan kekuatan ekonomi Bintulu yang sedang berkembang pesat sebagai hab tenaga kedua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyerahan Permit Menduduki (OP) dan Kunci Rumah kepada pembeli Projek Perumahan Lot 6256 dan 6258, Blok 32 Kemena Land District di sini, hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan kini di peringkat perancangan reka bentuk dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
“Kita tidak mengabaikan keperluan rakyat berpendapatan sederhana.
“Lokasi telah disahkan iaitu di Kidurong dengan kira-kira 100 unit rumah mampu milik.
“Perancangan ini pastinya berita baik untuk Bintulu yang mempunyai permintaan paling tinggi bagi rumah mampu milik di Sarawak,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha itu selaras dengan strategi kerajaan memastikan pembangunan pesat Bintulu turut disokong penyediaan perumahan berpatutan untuk rakyat.
Oleh Carolyne Utih