
Foto UKAS Sri Aman
SIMANGGANG: Seramai 100 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80 sempena Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 yang diadakan di sini, semalam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, merakamkan penghargaan kepada JKM Sarawak dan JKM Bahagian Sri Aman atas penganjuran program yang menurutnya mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya difahamkan program seperti ini dilaksanakan setiap tahun oleh JKM di seluruh Sarawak bagi membantu penerima bantuan membuat persiapan menyambut perayaan.
“Sebelum ini, program Sejambak Kasih turut diadakan bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Sejambak Kasih Gawai Dayak merupakan program ketiga tahun ini dan akan diteruskan sempena perayaan utama lain,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, bagi penerima yang tidak dapat hadir, sumbangan tunai RM100 akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing.
“Saya percaya Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak ini mencapai objektifnya dalam membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kurang berkemampuan, menyemarakkan semangat perpaduan serta mengurangkan beban kewangan klien JKM dalam menyambut perayaan,” katanya lagi.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, JKM Bahagian Sri Aman telah menyalurkan sejumlah RM13,210,350 kepada 5,831 penerima bantuan bulanan.
“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang sahaja, katanya, jumlah penerima terdiri daripada 856 kaum Iban, 238 kaum Cina, 86 kaum Melayu, dan 11 daripada etnik lain,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah wakil Residen Bahagian Sri Aman Jackline Medan Ikon, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai JKM Bahagian Sri Aman Sharifah Mordiah Syed Ali, Pengetua Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Jacquiline Ebby Ramli, dan Pemanca Denneil Saweng.
Oleh Adi Safarman