
SIBU: Kempen Derma Darah 4.0 anjuran Pertubuhan Jenaseng Dalat berjaya mengumpul sebanyak 100 pek darah bagi menyokong keperluan Bank Darah Hospital Dalat.
Kempen tersebut dengan tema ‘Derma Darah Dengan Kasih, Limpahan Berkat Menyebarkan Kebaikan’ itu memberi sumbangan penting kepada sistem penjagaan kesihatan setempat serta membantu menampung keperluan bekalan darah di hospital berkenaan.
Program berkenaan diterajui oleh Pengerusi Jenaseng, Daniel Francis Klumai dan menerima sokongan padu daripada pelbagai pertubuhan serta rakan korporat.
Antara yang hadir ialah wakil Persatuan Pengilang Sagu Sarawak iaitu Timbalan Pengerusinya, Lawrence Ling Kah Yong serta CH Ling Enterprise Sdn Bhd yang diwakili Jackson Ling Kah Hong.
Pada program tersebut, turut diadakan penyerahan cek sebagai manifestasi komitmen syarikat-syarikat terbabit terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Majlis berkenaan disaksikan oleh Ahli Majlis Daerah Dalat, Kaunselor Boris Ling Kah Hing.
Ling turut memuji usaha penganjur kerana berjaya menyatukan komuniti dalam menyokong satu inisiatif murni demi kepentingan awam.
Menurut beliau, sama ada melalui penganjuran bersama mahupun penajaan, kempen tersebut jelas mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan awam serta kepentingan menyelamatkan nyawa.
Pendermaan darah bukan sahaja satu amalan kemanusiaan, malah merupakan tanggungjawab sosial bersama dalam menyemai nilai kebaikan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Mereka berharap lebih banyak program kebajikan seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi menggalakkan penyertaan orang ramai serta memperkukuh semangat kemasyarakatan.
Oleh Akun Giman