
SARATOK: Seramai 100 orang murid di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka telah mendapat manfaat daripada Program Gunting Rambut Percuma yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, semalam.
Program murni yang berlangsung selama dua hari tersebut merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh Pergerakan Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, melahirkan rasa bangga dan memuji usaha proaktif yang dilakukan oleh sayap belia parti dalam membantu meringankan beban penduduk.
”Syabas dan tahniah saya ucapkan di atas penganjuran program tersebut kerana secara langsung boleh meringankan perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam membuat persediaan untuk anak-anak,” katanya.


Beliau menambah bahawa bantuan sekecil ini amat bermakna memandangkan penggal pertama persekolahan tahun ini akan bermula pada minggu hadapan, yang mana lazimnya memerlukan perbelanjaan yang besar bagi setiap keluarga.
Dalam pada itu, Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada komuniti tukang gunting rambut tempatan yang sudi menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang program berlangsung.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perin Barbershop, Barberlab Studio, Naim Chiseled, Aien Barbershop, dan Khalil Barbershop di atas kerjasama erat yang diberikan bagi memastikan kelancaran program kali ini.
Program tersebut bukan sahaja disambut baik oleh para murid, malah mendapat reaksi positif daripada ibu bapa dan penjaga yang berharap agar lebih banyak program kebajikan seumpamanya dapat dianjurkan pada masa hadapan.
Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, yang hadir mewakili ADUN Kalaka untuk menyantuni para peserta dan ibu bapa.
Oleh Adi Safarman