ISTANBUL: Kira-kira 100 orang terbunuh dalam pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Guinea, hari ini, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik media tempatan.
Keganasan tercetus ketika perlawanan antara pasukan bola sepak Labe dengan Nzerekore di Nzerekore, iaitu bandar kedua terbesar di negara Afrika Barat itu.
Meskipun angka kematian sebenar belum dapat dipastikan, sumber hospital tempatan melaporkan ‘puluhan terkorban’, manakala seorang doktor di lokasi menganggarkan jumlah mangsa mungkin mencecah sekitar 100 orang.
Perdana Menteri Guinea, Bah Oury dalam satu kenyataan melalui platform X, mengecam insiden berkenaan.
“Kerajaan kesal dengan insiden yang mencemari perlawanan bola sepak antara pasukan Labe dengan Nzerekore di Nzerekore, petang tadi.
“Kerajaan sedang memantau situasi dengan teliti, dan sekali lagi menyeru semua pihak bertenang supaya perkhidmatan hospital tidak terjejas dalam memberikan rawatan kepada mereka yang cedera,” katanya.
Menurut laporan, keputusan pengadil melayangkan dua kad merah kepada pemain Labe dan menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan, dipercayai mencetuskan pergaduhan itu.
Perlawanan itu adalah sebahagian daripada kejohanan yang dianjurkan untuk menghormati Kolonel Mamady Doumbouya, iaitu ketua tentera Guinea yang mengambil alih kuasa pada 2021.
Nzerekore, dengan populasi sekitar 200,000 orang, terletak kira-kira 570 kilometer di tenggara ibu negara, Conakry. – BERNAMA-AA