
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Miri telah melaksanakan Ops Bersepadu Ambang Tahun Baharu di sekitar Bandaraya Miri bermula semalam hingga pagi tadi.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan khusus di kawasan yang dikenal pasti sering berlaku aktiviti perlumbaan motosikal secara haram yang dijalankan secara menyeluruh.

Sepanjang operasi, sebanyak 100 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa JPJ dan JSPT Miri. Dalam tempoh sama, sebanyak 25 motosikal telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, penunggang bawah umur serta pelbagai kesalahan lain melibatkan aspek teknikal kenderaan.