
KUALA TERENGGANU, 14 April -- Petugas kesihatan melakukan saringan kesihatan dan ujian calitan terhadap kakitangan yang bertugas di Kompleks Seri Iman hari ini. Kompleks Seri Iman ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat 11 kes positif COVID-19. Penutupan itu membabitkan enam premis pejabat di bangunan berkenaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

BINTULU: Lebih 100 individu yang disahkan positif Covid-19 sejak 12 hingga 21 April lalu tidak dapat dikesan atau dihubungi oleh pihak berkuasa.
Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, ia berlaku kerana maklumat peribadi yang diberikan oleh individu terbabit adalah palsu.
“Daripada tarikh 12 hingga 21 April lepas, lebih 100 orang telah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian.
“Oleh kerana mereka memberikan maklumat peribadi palsu termasuk alamat tempat tinggal dan maklumat hubungan, kakitangan hospital sekarang tidak dapat menghubungi mereka untuk proses kuarantin, pengasingan, dan prosedur rawatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru, Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China meminta dan menasihat individu berkenaan untuk tampil ke Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu dalam tempoh masa 24 jam.
“Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan polis melaksanakan pencarian dan penangkapan menyeluruh terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini dan dibawa ke muka pengadilan.
“Mereka yang positif Covid-19 ini harus sedar bahawa selain menjangkiti ahli keluarga, mereka juga membahayakan seluruh komuniti apabila mengabaikan diagnosis dan masih berjalan-jalan,” jelasnya.
Oleh itu, beliau menegaskan, sesiapa yang memberikan maklumat palsu untuk menipu pihak kesihatan mesti bertanggungjawab atas tingkah laku yang mementingkan diri sendiri dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai juga mesti melakukan peranan dengan tidak menggalakkan kelakuan sebegini dan melaporkan keberadaan orang berkenaan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH