ADENG IDRUS
LAWAS: Lebih 10 tan produk pertanian khususnya buah pisang dan buah limau diagih Jabatan Pertanian Daerah Lawas melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lawas untuk golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas daerah Lawas.
Bidat Kasi menjelaskan bahawa pihak PPK Lawas membeli hasil pertanian para petani yang tidak dapat dijual sepanjang PKP dijalankan.
Pada masa yang sama, Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari menerusi skuad barisan hadapannya membantu menghantar ke semua kampung di Bukit Sari, kemudiannya diagihkan oleh Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat setempat.
Sumbangan Jabatan Pertanian ini turut disampaikan kepada semua keluarga Polis DiRaja Malaysia Lawas di Perumahan Polis Lawas.
Penghantaran dijangka akan diteruskan hingga bulan Ramadan mengikut jumlah jualan petani yang dijual kepada PPK Lawas.
Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmat memuji komitmen dan pengorbanan skuad barisan hadapan Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari yang terus berdisiplin dan gigih membantu menghantar semua barangan sumbangan untuk rakyat sejak arahan PKP dikeluarkan hingga ke bulan Ramadan ini.
Bantuan fasa pertama membabitkan sumbangan Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari bersama sumbangan peribadi Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan kepada 7,400 keluarga.
Sumbangan fasa kedua daripada Bantuan Khas Sarawak Ku Sayang yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak dengan membabitkan sejumlah 7,400 keluarga.
Awang Tengah juga mahu agar setiap keluarga di Lawas diberi bantuan ini tanpa mengira fahaman politik dan warga negara.
Beliau mahu memastikan semua pemastautin dan mereka yang berada di Daerah Lawas mempunyai makanan mencukupi sepanjang perintah PKP ini.
Bantuan sama turut dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Lawas untuk kawasan DUN Ba’kelalan yang disumbang Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lawas dan Ketua PBB Cawangan Ba’kelalan Dato Henry Sum Agong.