
KUCHING: Acara larian terbesar di Sarawak, Maraton Kuching 2025, mencatatkan sejarah tersendiri apabila lebih 14,000 peserta mengambil bahagian sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sambutan luar biasa itu membuktikan Maraton Kuching terus mendapat tempat di hati peminat acara larian dari dalam dan luar negara.
“Peserta yang telah mendaftar kini boleh mengambil nombor penyertaan serta pek larian sehingga Sabtu ini. Saya tidak pasti sama ada pendaftaran masih dibuka, namun setakat ini sambutan amat memberangsangkan.
“Harapan saya, Kuching Marathon akan terus berkembang lebih besar dari tahun ke tahun.

“Mungkin suatu hari nanti jumlah penyertaan mampu mencecah 20,000 hingga 30,000 peserta,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pengagihan pek perlumbaan Maraton Kuching X 2025, di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas pengurusan yang tersusun serta berdisiplin sepanjang acara itu dianjurkan sejak sedekad lalu.
“Bukan sahaja dari segi persiapan awal seperti pengagihan pek larian, malah ketika perlumbaan berlangsung, kita dapat lihat disiplin serta kecekapan penganjuran yang sangat baik.
“Saya percaya Kuching Marathon kali ini juga akan berjalan lancar seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat