KUALA LUMPUR: Seramai 10 setiausaha politik kepada Menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah simpan rahsia.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata upacara berkenaan berlangsung di Putrajaya pagi tadi.
Beliau menyaksikan upacara mengangkat sumpah itu yang bermula dengan Muhammad Kamil Abdul Munim yang dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kewangan.
Turut mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik ialah Datuk Hamzah Brahim (Menteri Perladangan dan Komoditi), Yuhaizad Abdullah (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Datuk Ton Zalani Mat Darus (Menteri Pertahanan) dan Datuk Rizam Ismail (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Datuk Suraya Yaacob pula mengangkat sumpah simpan rahsia sebagai setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Akmal Zharif Ahmad Kamal (Menteri Luar Negeri), Dr Stephen Anak William (Menteri Perpaduan), Arul Kumar Jambunathan (Menteri Pengangkutan) dan Yap Yee Vonne (Menteri Belia dan Sukan).
“Semoga mereka dapat laksanakan amanah yang diberikan ini dengan ikhlas dan penuh berintegriti,” kata Anwar.
Upacara mengangkat sumpah simpan rahsia itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. – Bernama