

BINTULU: Sebanyak 10 rumah setinggan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Samalaju di sini, petang tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 3.25 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan BBP Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sekitar 10 rumah kayu setinggan dengan anggaran keluasan 30 x 40 kaki persegi yang terbakar 100 peratus,” katanya.


Tindakan pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua nozel menggunakan sumber air daripada jentera tangki air memandangkan tiada pili bomba berhampiran.
Operasi pemadaman berjaya dikawal dan pasukan seterusnya menjalankan kerja-kerja pemeriksaan semula bagi memastikan tiada lagi punca api yang tersisa.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Oleh Carolyne Utih