KURSUS Kemahiran Quick Win Masakan (Food Stall) memberi impak kepada peserta berpotensi, berkemahiran dan ingin menambah nilai pendapatan mereka dalam bidang masakan serta mempelbagaikan jualan mereka.
Program ini dianjurkan oleh KEMAS bahagian P.200 Batang Sadong/Daerah Simunjan pada 27 hingga 29 Oktober lalu bertempat di PKK KEMAS Kampung Tanjung Harapan. Program yang berlansung selama tiga hari tersebut diadakan secara kaedah teori dan amali.
Seramai 10 peserta dipilih untuk mengikuti program ini yang mana pemilihan dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Pemilihan Peserta yang dilantik oleh Pengarah KEMAS Negeri Sarawak melalui temuduga secara dalam talian.
Pemilihan tersebut berdasarkan kretiria pemarkahan dan syarat penyertaan yang ditetapkan oleh KEMAS. Program tersebut menampilkan tenaga pengajar jemputan, Khalik Senak (HRDF Certified) membantu peserta memahami Asas Keusahawanan.
Beliau bergiat aktif dalam aktiviti Digital Kenyalang yang berlansung sejak September 2021 semasa negara bergerak ke arah endemik.
Menurut Khalik Senak, peserta merupakan usahawan sekitar Simunjan yang berpotensi untuk dibantu dan berminat untuk membantu diri sendiri.
“Program ini tidak akan lengkap sekiranya hanya atas usaha sebelah pihak sahaja. Ia memerlukan peserta sendiri ingin berubah dan membantu diri sendiri. Disebabkan itu, pemilihan peserta berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KEMAS.
“Sepanjang program berlansung. Peserta menunjukkan minat yang mendalam untuk memajukan aktiviti perniagaan mereka. Antara ilmu yang dikongsikan dalam program ini adalah berkaitan dengan sokongan dan bantuan dari pihak KEMAS, Keusahawanan dan masakan yang dijalankan secara praktikal.
“Peserta tidak hanya dibantu setakat ini sahaja. Tetapi peserta juga dipantau selama dua tahun oleh Pemaju Masyarakat dan Penyelia.
“Kesemua peserta akan dipantau aktiviti mereka setiap bulan dan laporan pemantauan berkenaan akan dihantar ke Bahagian Pendidikan Kemahiran (BPKEM) KEMAS Ibu Pejabat.
“Peserta yang dipilih juga dibantu melalui bantuan alatan aktiviti perniagaan seperti Food Stall, Kanopi dan meja bagi merancakkan aktiviti perniagaan mereka.
“Program ini mendedahkan peserta tentang berfikiran kreatif, enovatif dan kompetitif. Dengan sumber yang terhad bukanlah penghalang untuk mereka bergerak lebih jauh.
“Apa yang menghalang mereka bergerak jauh adalah mereka sendiri yang membantaskan minda mereka pada satu ruang sahaja,” jelas Khalik.
Hasilnya, salah seorang peserta iaitu Zainol menyatakan program ini memberi prospektif baru cara beliau berfikir. Banyak perkara baru yang beliau pelajari mengenai survival perniagaan dan bagaimana untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau berharap program ini diteruskan dan diperluaskan di Kawasan luar banda bagi membantu para peniaga yang terjejas akibat pandemik yang melanda negara.
“Ini adalah kaedah yang terbaik bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Mengenal dan mengeluarkan potensi sumber yang terdapat di luar Bandar,” katanya.