SIBU: Seramai 10 pengamal media daripada pelbagai agensi di sini mendapat penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Media memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat dengan tepat dan pantas kepada masyarakat.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, peranan media sebagai medium penyebar maklumat dihargai terutama usaha pihaknya membanteras jenayah dan menjaga keselamatan awam.
“Justeru, pihak polis memerlukan hubungan yang baik dengan pihak media supaya masyarakat tahu dan didedahkan dengan segala usaha yang dilakukan oleh pihak polis dalam menangani sebarang kejadian jenayah,” katanya pada majlis minum petang bersama pengamal media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, petang semalam.
“Pada masa kini, semua agensi media mempunyai platform dalam talian dan tidak hanya bergantung kepada media tradisional (surat khabar), ini adalah platform yang sahih untuk masyarakat mendapatkan maklumat yang diperlukan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, tahap kesedaran masyarakat meningkat terhadap kes jenayah yang berlaku di Sibu, hanya daripada berita yang disampaikan oleh media.
Pada majlis sama, beliau turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada semua pengamal media atas kerjasama yang erat dengan PDRM.
Oleh AKUN GIMAN