
BELADIN: Pertandingan tarik tali terbuka sempena Portgun Fest 2025 berlangsung meriah di Dataran Temenggung Kadir, Beladin dengan penyertaan 10 pasukan dari pelbagai kampung di Bahagian Betong.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor semalam.
Dalam ucapannya, Razaili menyifatkan program seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah berupaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia.
“Semangat perpaduan dan kerjasama khususnya dalam kalangan belia di kawasan ini juga dapat dipupuk,” ujarnya selepas Pertandingan tarik tali terbuka sempena Portgun Fest 2025 di Dataran Temenggung Kadir, Beladin semalam.
Pertandingan kali ini menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh pasukan Trass Merah dari Kabong, tempat kedua diraih oleh pasukan X Jerak dari Kampung Geringat, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Gajah Sakti dari Kampung Alit.
–UKAS