

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kuching menyita sebanyak 10 motosikal dan lima kereta atas kesalahan cukai jalan (LKM) tamat tempoh serta ketiadaan perlindungan insurans yang sah dalam Ops Khas Motosikal dan Ops Harian, di sini, hari ini.
Operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan menerusi rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Kuching serta penguatkuasaan secara statik di Jalan Datuk Haji Daud, Matang Kuching yang melibatkan kedua-dua hala laluan.
Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 763 kenderaan terdiri daripada kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan, antaranya pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Susulan itu, sebanyak 308 notis ketidakakuran telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan.
JPJ Kuching memaklumkan semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama sentiasa terpelihara.