
MIRI: Sebanyak 10 buah motosikal disita manakala 30 keping saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu bermula jam 11.00 malam hingga 3.30 pagi.
Menurutnya, operasi berkenaan tertumpu di Jalan Piasau, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Tanjung Lobang dan Jalan Bekenu susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.

“Sepanjang operasi, seramai 35 individu terdiri daripada 30 lelaki dan lima perempuan telah diperiksa bersama 30 buah motosikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah hari ini.
Mohd Farhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, sebanyak 10 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana ia membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan sebarang pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan.
Orang awam juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada IPD Miri bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Oleh Liong Chai Ling