KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyempurnakan istiadat angkat sumpah jawatan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menteri-menteri muda negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini semalam.
Buat julung kalinya, istiadat tersebut berlangsung secara hibrid sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Acara rasmi bermula pada 9.00 malam dengan penerimaan watikah perlantikan iaitu Surat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan disusuli angkat sumpah kemudiannya menandatangani surat berkenaan oleh Timbalan-timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Upacara sama seterusnya dilangsungkan bagi pemegang portfolio kabinet iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Terdahulu, Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 18 Disember 2021 dan mengumumkan barisan kabinet baharu Sarawak yang terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda dengan menampilkan seramai 12 muka baharu pada 30 Disember 2021.
Antara muka baharu dalam barisan kabinet Abang Johari ialah Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala, Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Dr. Hazland Abang Hipni, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I Ir. Aidel Lariwoo, Menteri Muda Pengangkutan II Dato Henry Harry Jinep, Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II Dr. Ripin Lamat, Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II Mohamad Razi Sitam, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah II Martin Ben, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II Dato Majang Renggi, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Resam Anak Negeri) Jefferson Jamit Unyat, Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I Dato Gerald Rentap Jabu serta Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee.
Istiadat angkat sumpah jawatan turut disaksikan oleh isteri TYT Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan lain.