BUKAVU: Petugas kecemasan semalam menemui mayat pertama pekerja lombong yang terkorban dalam runtuhan akibat banjir di lombong emas di timur Congo.
Datuk Bandar Kamituga, sebuah pekan perlombongan di wilayah Selatan Kivu, Alexandra Bundya, berkata 10 mayat sudah dibawa keluar setakat ini.
“Kita tidak tahu jumlah pekerja lombong yang sedang bekerja ketika banjir berkenaan, namun 19 keluarga sedang mencari ahli keluarga mereka yang hilang,” katanya.
Pada hari kedua kejadian, ratusan orang berkumpulan di kawasan itu ketika petugas kecemasan mengeluarkan mayat pertama dan dibawa ke khemah berdekatan, berdasarkan video yang ditunjukkan kepada AFP.
Gabenor wilayah berkenaan sebelum ini berkata sekurang-kurangnya 50 pekerja lombong terkorban selepas terperangkap di bawah tanah berikutan hujan lebat yang membanjiri lombong itu, Jumaat lalu.
Ketika petugas kecemasan melakukan kerja dengan hanya menggunakan penyodok dan tangan pada Sabtu lalu, satu penyodok hidrolik dibawa ke kawasan berkenaan semalam bagi membantu tugas mereka.
Kemalangan di lombong emas di Congo biasa berlaku dan sering menyebabkan kematian.
Pada Jun 2019, sekurang-kurangnya 39 lelaki maut selepas sebahagian lombong tembaga di Kolwezi di tenggara wilayah Katanga runtuh.
Berikutan kebanyakan lombong seperti itu berada di kawasan terpencil, kemalangan yang berlaku tidak dilaporkan. Congo menyimpan sumber asli besar emas, kobalt, tembaga dan coltan.
Negara itu adalah pengeluar terbesar kobalt, yang amat penting dalam pembuatan bateri bagi telefon bimbit dan kenderaan elektrik.
Bahagian timur Congo kaya dengan mineral namun tidak stabil kerana berdepan serangan berkala daripada sejumlah besar pengganas dan kumpulan pemberontak yang beroperasi secara bebas di rantau itu. – AFP