BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 mangsa maut selepas hujan lebat melanda wilayah Hunan di tengah China selain memaksa ratusan ribu orang dipindahkan, lapor agensi berita rasmi negara, Xinhua, kelmarin.
Agensi itu melaporkan, hujan lebat sejak 1 Jun lalu memaksa kira-kira 286,000 orang dipindahkan, dengan lebih 2,700 rumah runtuh atau rosak teruk.
Sehingga semalam, 10 terbunuh dan tiga lagi masih hilang, kata pegawai wilayah Hunan, Li Dajian, menurut Xinhua.
“Hujan lebat menyebabkan paras air sungai dan tasik meningkat dengan ketara.
“Seluruh wilayah di semua peringkat bertindak balas secara aktif dan melakukan segala usaha untuk mencegah (bencana),” kata kerajaan wilayah itu dalam satu kenyataan hari ini.
Xinhua melaporkan, hujan menjejaskan hampir seluruh wilayah Hunan, dengan beberapa stesen cuaca melaporkan ‘paras bersejarah’ bagi keadaan cuaca itu.
Ia memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata, seramai 1.79 juta orang ‘terjejas’, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Katanya, pihak berkuasa menghantar khemah, katil boleh lipat, makanan dan pakaian ke kawasan yang dilanda bencana.
Banjir adalah bencana alam yang biasa berlaku di tengah dan selatan China, di mana musim panas yang lembap sering membawa hujan lebat.
China mengalami banjir terburuk dalam tempoh sedekad pada tahun lalu, selepas banjir di wilayah tengah mengorbankan lebih 300 orang.
Ramai yang maut dalam banjir dan tanah runtuh di Zhengzhou, bandar paling teruk dilanda banjir, di mana penduduk turut terperangkap dalam gerabak kereta bawah tanah, tempat letak kereta bawah tanah dan terowong.
Pakar percaya bencana mungkin menjadi lebih buruk akibat perubahan iklim disebabkan perbuatan manusia. – AFP