KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4.00 petang hari ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 169.
Berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikongsikan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di Laman Facebooknya, pada 4.00 petang, hari ini, kawasan berkenaan ialah Serian (169), Kuching (156), Samarahan (156), Sri Aman (155), Bintulu (154), Sarikei (152), Samalaju (152), Miri (121), Tebedu (126) dan Lundu (105).

Bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
Sementara itu, Sibu mencatatkan bacaan 100 yang berada pada tahap sederhana, diikuti Mukah (95), ILP Miri (93), Limbang (82), Kapit (76), Lubok Antu (76), Lawas (69) dan Bario (63).
Bacaan IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.
Dalam pada itu, berdasarkan panduan pengurusan sekolah ketika jerebu yang dikongsikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebelum ini, sekolah perlu mengambil tindakan mengikut tahap bacaan IPU bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah sentiasa diutamakan.
Bacaan IPU melebihi 200 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.





