KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat 4.00 petang hari ini, dengan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 381.
Kawasan lain yang berada pada tahap berbahaya ialah Lubok Antu dengan bacaan 374, Kanowit (365), Kuching (357), Tebedu (350), Sarikei (345), Lundu (338), Sibu (327), Samarahan (326) dan Sri Aman (312).
Sementara itu, empat kawasan mencatatkan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Bintulu dengan bacaan 250, Mukah (243), Betong (239) dan Samalaju (235).
Enam kawasan pula berada pada tahap tidak sihat iaitu ILP Miri dengan bacaan 190, Kapit dan Miri masing-masing 185, Limbang (173), Lawas (167) serta Bario (147).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, manakala 301 hingga 400 dikategorikan sebagai berbahaya.
Tahap berbahaya boleh memberi kesan kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam, manakala tahap sangat tidak sihat boleh memburukkan keadaan kesihatan terutama individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.
Oleh Norman B





