10 kawasan catat IPU tidak sihat di Sarawak

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU Kuching direkodkan pada paras 163, iaitu tahap tidak sihat, setakat jam 12.00 tengah hari ini.

KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Serian (182), Tebedu (168), Samarahan (164), Kuching (163), Sibu (157), Mukah (157), Sri Aman (152), Sarikei (152), Bintulu (152) dan Samalaju (149).

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

KEADAAN sekitar bandar raya Kuching yang diselubungi jerebu susulan bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, iaitu 163, setakat 12.00 tengah hari ini.

Sementara itu, sembilan kawasan mencatat bacaan pada tahap sederhana iaitu Kapit (72), Miri (90), ILP Miri (92), Limbang (81), Lundu (97), Lubok Antu (92), Lawas (94) dan Bario (68).

Bacaan IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan.

Pemantauan kualiti udara akan terus dilakukan bagi melihat perkembangan keadaan jerebu di seluruh Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud