SINGAPURA: Pilihan raya umum pada 10 Julai adalah “pilihan raya kiritikal” bagi Singapura kerana lebih banyak cabaran menanti republik itu dan dunia di tengah-tengah wabak koronavirus (Covid-19), menurut Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lee Hsien Loong.
“Tidak pernah dalam sejarah kita taruhannya lebih tinggi daripada sekarang. Kita berada di tengah-tengah krisis tetapi sesukar bulan yang lalu, cabaran terbesar adalah di hadapan kita,” kata Lee semasa berucap dalam Rapat Fullerton yang diadakan secara dalam talian di sini semalam.
Perdana Menteri kerajaan sementara itu turut menunjukkan bilangan kes Covid-19 global yang terus meningkat dan tiada siapa yang tahu bila wabak itu akan berakhir atau sama ada penyelesaian yang berkekalan ditemui – sama ada vaksin atau rawatan yang lebih berkesan.
“Kita menghadapi bahaya berterusan terhadap kesihatan awam. Ia juga akan membebankan ekonomi, mungkin setahun atau lebih lama,” katanya.
Hsien Loong menyatakan, semua pengalaman sejak awal tahun ini telah menjelaskan betapa pentingnya kerajaan yang baik untuk melawan Covid-19, menyokong ekonomi dan keluar daripada krisis dengan utuh.
“Inilah sebenarnya pilihan raya ini, siapa yang anda percayai untuk bersama anda menempuh saat-saat yang sukar di masa hadapan,” katanya.
Hampir setiap pilihan raya umum sejak kemerdekaan, PAP mengadakan rapat umum di Fullerton setelah pertengahan kempen dan menurut Lee, rapat umum kali ini adalah “suatu kesempatan untuk berhenti sejenak, mengambil tahu apa disampaikan oleh calon setakat ini dan menumpukan semula minda semua orang pada apa yang dipertaruhkan”.
Berikutan Covid-19, parti itu tidak boleh mengadakan perhimpunan fizikal Fullerton tahun ini sebaliknya disiarkan secara maya, tetapi “tujuan saya adalah sama,” kata Lee yang pertama kali mengadakan rapat umum Fullerton pada 1984 ketika beliau menyertai politik 36 tahun yang lalu, pada usia 32.
Berkongsi perjalanan kerjaya politiknya bagaimana beliau mendepani krisis, Hsien Loong berkata beberapa bulan selepas pilihan raya Singapura berlaku kegawatan ekonomi pada 1985, diikuti krisis kewangan Asia (1997-1999), Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) (2002-2004) dan krisis kewangan global (2007-2008).
“Setiap satu adalah cabaran yang serius,” katanya dan menambah “apa yang saya tidak jangkakan..yang tiada seorang pun menjangkakan…adalah menghadapi krisis luar biasa ini pada penghujung tempoh kepimpinan saya.”
Hsien Loong, satu-satunya yang tinggal dari kelas 1984, berkata: “Covid-19 adalah krisis generasi. Ia adalah lebih kompleks dan berbahaya daripada krisis yang dihadapi sebelum ini.”
“Sekali lagi, tidak ada kepastian semuanya akan berjalan lancar. Tetapi kita mesti cekal untuk menggembleng semua tenaga dan sumber kita, memeranginya bersama-sama, agar dapat bangkit lebih teguh”.
Janji Hsien Loong, bersama rakan-rakan sekerja yang lebih senior seperti Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam serta barisan menteri generasi keempat (4G) yang lebih muda, beliau bertekad, “untuk mengatasi krisis itu”.
“Saya bertekad untuk menyerahkan Singapura dalam keadaan yang utuh dan dalam keadaan pentadbiran yang baik kepada pasukan seterusnya,” katanya. – Bernama