PORT DICKSON: Seramai 10 lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Bypass Port Dickson di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam operasi yang dijalankan selama empat jam bermula pukul 1 pagi itu, kesemua individu yang berusia 17 hingga 24 tahun itu ditahan kerana kesalahan bersaing sesama sendiri dan memotong antara satu sama lain.
“Mereka juga didapati membuat aksi mengangkat tayar hadapan, melanggar lampu isyarat merah dan membuat pusingan ‘U’ beberapa kali mulai lampu isyarat Kampung Arab hingga lampu isyarat Kampung Paya.
“Lelaki Indonesia yang ditahan telah datang ke Port Dickson bersama-sama kawannya untuk bersiar-siar namun didapati terlibat dengan kegiatan lumba haram,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Aidi Sham berkata antara yang ditahan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori, pengawal keselamatan serta pelajar institut pengajian tinggi.
“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan reman. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.- Bernama