
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada tujuh ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta masing-masing satu ADUN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Mendahului senarai ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang juga ADUN Kundasang.
Turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun yang juga ADUN Karanaan serta Presiden UPKO yang juga ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (ADUN Membakut), Naib Presiden PGRS Datuk Rubin Balang (ADUN Kemabong), Ketua Penerangan PGRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (ADUN Apas) dan Ketua Bahagian PGRS Sugut Datuk James Ratib (ADUN Sugut) juga mengangkat sumpah hari ini.
Selain itu, Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Mojungki (ADUN Matunggong), Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin (ADUN Sukau) dan ADUN Melalap Datuk Jamawi Jaafar.
–Bernama