
GENEVA: Satu daripada enam jangkitan bakteria yang menyebabkan penyakit biasa di seluruh dunia pada 2023 didapati kalis terhadap rawatan antibiotik, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbaharu yang memberi amaran tentang kebimbangan kesihatan global yang semakin meningkat pada Isnin.
Antara 2018 hingga 2023, daya tahan terhadap antibiotik meningkat dalam lebih 40 peratus kombinasi patogen-antibiotik yang dipantau oleh WHO, dengan peningkatan tahunan antara lima hingga 15 peratus, menurut laporan itu.
Data yang dikemukakan oleh lebih 100 negara kepada Sistem Pemantauan Daya Tahan dan Penggunaan Antimikrob Global WHO menunjukkan peningkatan kekalisan terhadap antibiotik utama yang digunakan untuk merawat jangkitan saluran kencing, gastrousus dan aliran darah, serta gonorea.
“Daya tahan antimikrob berkembang lebih pantas daripada kemajuan perubatan moden, sekali gus mengancam kesihatan keluarga di seluruh dunia,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Laporan itu mendapati tahap kekalisan paling tinggi dikesan di rantau Asia Tenggara dan Mediterranean Timur WHO, dengan satu daripada tiga jangkitan yang dilaporkan adalah tahan antibiotik. E. coli dan Klebsiella pneumoniae yang kalis ubat, antara punca utama jangkitan aliran darah, kini menjadi ancaman terbesar apabila lebih separuh kes global tidak lagi memberi tindak balas kepada rawatan barisan pertama.
WHO menggesa negara memperkukuh sistem makmal dan berkongsi data berkualiti tinggi mengenai daya tahan antimikrob menjelang 2030.- Bernama-Anadolu