
GENEVA: Badan induk bola sepak dunia FIFA semalam memaklumkan lebih 1.5 juta peminat telah mendaftar dalam tempoh 24 jam pertama undian tiket Piala Dunia tahun depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pendaftaran diterima dari 210 negara, dengan jumlah terbesar datang dari negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, diikuti Argentina, Colombia dan Brazil.
Di Eropah, England, Sepanyol, Portugal dan Jerman mendahului senarai pendaftaran, menurut FIFA.
“Jumlah penyertaan yang begitu besar membuktikan keterujaan global terhadap Piala Dunia FIFA 2026 serta sejauh mana kejohanan ini bakal menjadi detik penting dalam sejarah bola sepak,” kata Ketua Pegawai Operasi Piala Dunia FIFA 26, Heimo Schirgi.
Dalam fasa pertama ini, peminat hanya boleh mendaftar menggunakan kad Visa, penaja rasmi FIFA yang memegang hak eksklusif untuk peringkat itu.
Pendaftaran akan dibuka sehingga 19 September.
Mereka yang terpilih menerusi undian rawak akan menerima e-mel bermula 29 September dengan tarikh dan masa untuk membeli tiket bermula 1 Oktober.
Tiket perlawanan tunggal untuk semua 104 perlawanan akan tersedia apabila jualan bermula, bersama tiket khusus mengikut venue dan pasukan, kata FIFA.
Fasa kedua pendaftaran dijangka berlangsung dari 27 hingga 31 Oktober, dengan jualan tiket antara pertengahan November hingga awal Disember, manakala fasa ketiga akan bermula selepas undian kumpulan di Washington pada 5 Disember.
-Bernama