TERDAPAT perkembangan positif terhadap tuntutan Sarawak dan Sabah yang mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan 35 peratus atau satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini berikutan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bersetuju dan memutuskan supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat membabitkan dua negeri ini dari sudut perundangan.
Ini disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, Isnin lalu. Katanya, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak itu adalah sebahagian daripada agenda yang dibincangkan dalam MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 pada 12 September lalu antara Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kerajaan akan terus komited dalam memastikan perkara yang termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.
“Kerajaan Persekutuan juga akan terus memantau kemajuan perbincangan mengenai semua tuntutan ini bagi memastikan penyelesaian bersama antara kementerian atau agensi berkaitan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat dicapai,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perincian mengenai empat tuntutan yang belum dipersetujui dalam MA63 membabitkan sempadan laut, royalti minyak, duti setem dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, menurut Perdana Menteri, tuntutan membabitkan mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), hak negeri ke atas pelantar benua, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum dibincangkan oleh kepimpinan peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Kita berharap isu ini diselesaikan dengan sebaik mungkin. Setakat ini, tidak pasti sama ada perkara ini nanti akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk dibentang, dibahas dan diluluskan.
Tetapi menurut Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, seperti mana proses pindaan Perlembagaan lain, ia memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana setiap pindaan Perlembagaan hendaklah diluluskan kedua-dua Dewan Parlimen menurut Perkara 68(5) Perlembagaan.
PERSEMPADANAN SEMULA
“Sekiranya ini berlaku, mungkin akan berlaku perbahasan mendalam di Parlimen. Pertama, kerana perlunya pindaan Perlembagaan dan kedua, alasan bagi persempadanan semula. Pada kebiasaannya, alasan bagi persempadanan semula ialah jumlah kepadatan pengundi. Hujah berkaitan alasan persempadanan semula bagi tujuan menambah bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Sarawak mungkin lebih bergantung kepada keluasan kawasan serta sumbangan negeri kepada Persekutuan, bukan kepadatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata sekiranya Sabah dan Sarawak menuntut tambahan kerusi Dewan Rakyat, ia hanya dapat dilakukan dengan pindaan Perkara 46 Perlembagaan, atas cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kajian persempadanan semula.
Menurut Dr Shamrahayu, perkara 9 MA63 menyatakan keanggotaan Dewan Rakyat yang mana 104 ahli dari Semenanjung Tanah Melayu, Sabah (16), Sarawak (24) dan Singapura (15). Pada masa itu, jumlah keseluruhan kerusi bagi Sabah, Sarawak dan Singapura ialah 55 daripada 159, iaitu lebih kurang 87 peratus. Selepas Singapura tidak lagi bersama Malaysia pada 1965, kerusi Dewan Rakyat berkurang kepada 144 manakala kerusi diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak kekal berjumlah 40 orang, masing-masing 16 dan 24, atau 28 peratus daripada jumlah 144 kerusi.
Selepas berlaku persempadanan semula pada 1965, 1973, 1984, 1986, 1992, 1996, 2001, 2003 dan 2006, Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat, iaitu 56 kerusi atau lebih kurang 25 peratus daripada 222 kerusi.
Seperti disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini dengan menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan 35 peratus atau satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah, adalah untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga Sabah.
Katanya, kepentingan serta hak Sarawak dan Sabah tidak akan terjamin berikutan gabungan kerusi mereka di Parlimen adalah kurang daripada satu pertiga. “Antara kebimbangan Sarawak dan Sabah ialah Parlimen mungkin akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan MA63.
“Justeru, dengan ada satu pertiga daripada jumlah kerusi itu, kita dapat memastikan MA63 kekal terpelihara. Dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, perkataan disebut ialah ‘safeguard’ (perlindungan),” katanya pada majlis bersama masyarakat tempatan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Suarah Kapit.
Andai selepas diperhalusi oleh Peguam Negara bersama Peguam Besar Sabah dan Sarawak, isu ini dibawa ke sidang Dewan Rakyat, apakah Ahli Parlimen di Semenanjung termasuk blok pembangkang akan memberi sokongan?
KESAN
“Sekiranya ini berlaku, mungkin akan berlaku perbahasan mendalam di Parlimen,” kata Dr Shamrahayu dan menambah bahawa sekiranya penambahan kerusi diberikan kepada Sabah dan Sarawak hingga 1/3 daripada 222 kerusi, iaitu 74 kerusi, lebih kurang 33 peratus, apakah implikasi mungkin berlaku.
“Mungkin ada kesan mendasar dari segi politik, ekonomi dan sosial, terutama berkenaan hubungan Persekutuan dan negeri. Pertama, kesan jelas ialah Sabah dan Sarawak akan mendapat jumlah ahli Dewan Rakyat ketara lebih tinggi dengan peningkatan 20 kerusi, daripada 54 kepada 74 kerusi.
Kedua, dari sudut perwakilan, suara Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih kuat. Memberikan Sabah dan Sarawak lebih banyak peluang membawa suara ke Parlimen mengenai kepentingan negeri, seperti isu autonomi, pembangunan infrastruktur dan peruntukan kewangan.
“Hasilnya nanti, ia membantu mempercepatkan pembangunan di negeri itu, terutama di kawasan luar bandar masih kurang membangun. Justeru, ia boleh dikatakan sebagai kedudukan autonomi lebih kukuh untuk Sarawak. Ketiga, Sabah dan Sarawak akan menjadi pengimbang kuasa politik pada peringkat Persekutuan, pada masa sama mempunyai pengaruh lebih besar dalam penggubalan undang-undang serta dasar negara,” katanya.
Jika tambahan kerusi untuk Sabah dan Sarawak berlaku, bermakna kedudukan kedua-dua negeri ini akan menjadi lebih dominan di Parlimen, malah bakal menjadi penentu atau ‘king maker’ dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Sarawak tidak bersetuju dengan saranan pengagihan kerusi Dewan Negara sebagai penyelesaian tuntutan 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.
Seperti dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebaliknya tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini adalah di Dewan Rakyat. Katanya, amat perlu wakil yang aktif dalam Dewan Rakyat untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak terus dipertahankan.
“Jika kita mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, hak-hak Sabah dan Sarawak akan terjamin. Peruntukan satu pertiga itu bertujuan untuk memastikan suara dan kepentingan Sabah dan Sarawak tidak diabaikan dalam proses pembuatan dasar di peringkat kebangsaan, terutama dalam perubahan yang boleh memberi kesan besar kepada negeri-negeri ini,” katanya.
Baru-baru ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpandangan tuntutan 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah wajar diselesaikan dalam pembahagian kerusi Dewan Negara.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.