
LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan kerja penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara berterusan sejak 15 tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap Kerajaan Persekutuan terus menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan penyukatan tanah NCR.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II memaklumkan bahawa sebanyak 1.2 juta hektar tanah NCR telah disukat secara perimeter menerusi inisiatif baharu yang dilaksanakan sejak 2010.
Tegasnya Sarawak berkomitmen tinggi untuk meneruskan program penyukatan tanah NCR dibawah inisiatif baharu di seluruh Sarawak dengan menyerahkan surat hak milik tanah kepada pemilik NCR.
Malahan kerajaan negeri sudah memberi peruntukan dan meluluskan RM40 juta dibawah inisiatif itu dan ia boleh dipohon berdasarkan keperluan.
“Kita mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah mengenai isu tanah NCR.
“Tapi kita berharap agar peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan akan terus disalurkan kepada negeri, pencapaian sudah begitu banyak kita telah menyukat lebih daripada 1.2 juta hektar tanah NCR di Sarawak.
“Saya harap Nurul Izzah akan dapat memastikan peruntukan secukupnya akan dapat disalurkan terus. Ini adalah program berterusan kerajaan negeri,” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Nurul Izzah mengenai penyukatan tanah NCR di negeri itu.

Beliau ditemui ketika merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Batu Danau hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Unos Tambi, Presiden Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) Joseph Blandoi dan kenamaan lain.
Semalam Nurul Izzah dilaporkan meminta agar kerajaan Sarawak dapat mempercepatkan proses pengukuran serta proses pemberian millikan tanah NCR serta menghentikan pengeluaran lesen baharu ke atas status tanah yang masih dipertikaikan.
Awang Tengah yang juga yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata lagi kenyataan tersebut tidak merangkumi situasi sebenar NCR.
“1.2 juta hektar yang disukat dan ada juga kerja penyukatan dibuat berdasarkan kepada permohonan secara individu dan kita mempunyai komitmen untuk meneruskan program ini selagi ianya dikehendaki.
“Memang sejak 2010 memang kita ada menerima dana dibawah program dan inisiatif Bumiputera dan kerajaan negeri sudah memberi peruntukan dan meluluskan RM40 juta dan ia boleh dipohon berdasarkan keperluan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Pesta Babulang, beliau mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pesta yang memasuki edisi ke-20 tahun ini mampu mengangkat kaum Bisaya di mata dunia yang kaya dengan kepelbagaian adat tradisi dan kebudayaan etniknya.
Katanya walaupun minoriti, kaum Bisaya amat dikenali di seluruh dunia kerana kekayaan budaya yang ditonjolkan dalam Pesta Babulang setiap tahun.
Beliau berkata Pesta Babulang satu usaha berterusan (PBS) yang mengangkat budaya dan mencerminkan wajah sebenar keunikan kaum tersebut.
“Menerus menganjurkan Pesta Babulang setiap tahun, masyarakat Bisaya walaupun merupakan golongan minoriti kini dikenali, bukan sahaja di Sarawak dan Malaysia tetapi pelancong dari luar negara, termasuk dari negara jiran Brunei,” katanya.
Oleh Adeng Edrus