


PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi serta keluarga, memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), tengah hari tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan di BCCK sekitar 12.30 tengah hari disambut mesra oleh Abang Johari, serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan berkesempatan merakam gambar kenangan bersama Abang Johari serta isteri.
Rumah terbuka ini terus mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran tetamu yang tidak putus-putus, mencerminkan semangat perpaduan serta keakraban antara pemimpin dan rakyat.
Para pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional Hari Raya, malah turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang menceriakan suasana.
Sebagai acara tahunan, Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak bertujuan mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah barisan kepimpinan negeri, tetamu kenamaan serta ketua-ketua jabatan yang bersama-sama meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri.




