







PETRA JAYA: Ekspo Pengguna Antarabangsa Borneo (BICE) 2025 bukan sekadar platform untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan, tetapi juga untuk membina jaringan perniagaan dan peluang pelaburan.
BICE edisi perdana tahun ini merupakan ekspo pengguna terbesar di Sarawak, menghimpunkan lebih 400 gerai jualan, dan pameran yang menampilkan pelbagai perkhidmatan dan produk dari Sarawak, Sabah, Indonesia, dan Brunei.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata meskipun pendigitalan adalah elemen penting dalam perniagaan masa kini, namun pasaran fizikal juga perlu dikekalkan kerana tiada apa yang boleh menggantikan nilai interaksi bersemuka.
“Pengalaman secara langsung memberi impak yang lebih besar berbanding sekadar melihat sesuatu secara dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, keseimbangan antara penglibatan dalam talian dan secara bersemuka adalah kunci kepada mewujudkan persekitaran pengguna yang selamat dan makmur.
“Peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah amat penting dalam memastikan ketelusan, perlindungan pengguna, dan amalan perniagaan yang beretika.
“Kepercayaan adalah teras dalam ekonomi hari ini, terutama dengan peningkatan transaksi dalam talian.
“Sarawak berhasrat untuk menjadi destinasi yang selamat dan boleh dipercayai untuk perniagaan dan pelancongan, maka ekspo ini merupakan satu langkah ke arah mencapai matlamat tersebut,” jelasnya.
Sim berkata demikian merasmikan ekspo berkenaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan Yayasan Legasi Pendidikan Antarabangsa Wynson Ong Teck Ping dalam ucapannya pula berkata, BICE turut memperkenalkan kebudayaan yang terdapat di Borneo kepada orang ramai, selain mempamerkan produk terkini.
Selain dapat melihat keindahan budaya dari Indonesia, dan Brunei, menurutnya, menerusi ‘Explore Borneo’, para hadirin turut dipersembahkan dengan tarian daripada pasukan Pestab Brunei, Sanggar Seni Simpur Singkawang Indonesia serta Kumpulan Baltisa daripada siswa guru Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Batu Lintang, Sarawak.
“Selain itu, acara Borneo Sape Competition turut berlangsung, mempersembahkan alunan muzik yang merdu dan menggambarkan penyatuan Borneo melalui seni muzik,” katanya.
Wynson Ong Teck Ping justeru berharap agar kolaborasi ini dapat diteruskan untuk memperluaskan lagi pendedahan mengenai warisan budaya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Konsul Jenderal Republik Indonesia Raden Sigit Witjaksono dan Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew Dominic Barin.





