Dua lelaki maut dalam nahas jalan raya

KEADAAN di lokasi nahas melibatkan empat kenderaan yang meragut dua nyawa pengawal keselamatan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan malam Khamis lepas.• Foto JBPM

KUANTAN: Dua pengawal keselamatan   di sebuah sekolah di Bentong maut   dalam nahas jalan raya melibatkan empat kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan Mentakab, dekat sini, malam Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata, N.Umarani, 43,   maut di lokasi kejadian manakala G.Pusphadevi, 47, disahkan meninggal dunia   semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.  

Katanya, kejadian yang berlaku pada 10.50 malam itu melibatkan   kereta Nissan Almera yang dipandu Umarani, sebuah   Proton Saga dinaiki lima beranak,   sebuah lori muatan roti dan lori barangan terpakai.  

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Umarani   dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan semasa mengambil selekoh menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori muatan roti.  

“Kereta Proton Saga yang berada di belakang lori itu pula terbabas ke bahu jalan kerana cuba mengelak   sebelum dilanggar dari arah belakang oleh lori membawa muatan barangan terpakai yang juga mahu mengelak,” katanya semasa dihubungi di sini semalam.  

Mohd Yusri berkata, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk di bahagian penumpang Proton Saga cedera di kepala dan dihantar HOSHAS manakala enam lagi mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan.   – BERNAMA